Sunday, 10 January 2010
POLIGAMI ADAKAH CINTA NAFSU?
Sayang suami ialah perasaan (rasa) yang relatif dan datang secara fitrah; bila seorang itu berkahwin maka sayanglah ia pada suaminya, walau siapa pun lelaki
itu.
Misalnya, seorang perempuan yang pernah bersuami, kemudian berpisah hidup (bercerai) atau mati, kemudian dia kahwin lagi, maka kasihlah ia akan suami barunya. (tidak dinafikan ingatan pada yang lama tetap ada). Kalau suaminya bernama A maka A-lah yang dikasihinya. Tapi taqdirnya suami bernama B, maka B-lah yang dicintainya.
Cinta suami bukan kerana individu suami, tetapi kerana nafsunya memang suka pada suami. Ini berbeza dengan kasih dua ibu bapa pada anak-anak. Sekiranya ditukar emaknya dengan permaisuri raja sekalipun, nescaya hatinya tetap pada ibunya yang berada di kampung. Itulah kasih murni atau cinta fitrah namanya,
sedangkan kasih akan suami adalah cinta nafsu.
Manusia tidak pernah merajuk kalau ibunya beranak lagi; ertinya seseorang itu tidak bimbang kalau kasih ibunya berbelah bagi antara adik-beradiknya. Malah
kalau dia kakak, dia akan turut berbangga dengan kelahiran adiknya, walaupun dia tahu mulai saat itu kasih ibunya bukan lagi untuknya seorang. begitulah
kasih yang murni atau kasih semulajadi yang tidak dikaitkan dengan apa-apa kepentingan. Ia membuatkan seseorang itu rela memberi kebahagiaan kepada orang yang dikasihinya. tapi rasa cinta yang didorong oleh nafsu adalah cinta yang tidak suci kerana ada kepentingan diri. Ia bersalut dengan cemburu dan hasad dengki yang datang silih berganti. Dia ingin bolot cinta untuknya sendiri.
Cinta yang semacam itulah kadang-kadangnya menghancurkan kebahagiaan suami isteri. Khususnya bila suami berkahwin lagi. Isteri sanggup melakukan apa
saja demi melepaskan rasa marah, benci dan dendam pada suaminya, walhal itu semua katanya kerana cinta pada suami.
Mengapa seorang isteri tidak berusaha membuktikan kasihnya pada suami dengan membenarkannya berkahwin lagi? kalau dirasakan itu sudah menjadi keperluan kepada suaminya. Bukankah cinta yang besar perlu dibuktikan dengan pengorbanan yang besar pula.
Selagi seorang isteri tidak mencintai suaminya dengan cinta fitrah (bukan cinta nafsu) selama itulah dia tidak akan membenarkan suaminya berkahwin lagi. Cinta fitrah inilah yang bersemi dalam hati isteri-isteri nabi. Dan ia sentiasa mengatasi cinta nafsu di dalam diri wanita-wanita solehah.
Kiranya seorang isteri terus-menerus gagal untuk memberikan cinta fitrah (suci) pada suaminya, nescaya masalah rumahtangga mereka tidak akan selesai. Kerana cinta nafsu yang dikekalkan itu tidak akan mendorong seseorang untuk mengutamakan kehendak Allah dan kehendak suaminya, kecuali pada perkara yang sesuai dengan nafsunya. Nafsu sifatnya ialah mementingkan diri sendiri. Sedangkan dalam Islam, orang yang paling baik ialah yang dapat memberi kebaikan kepada orang lain, sabda Rasulullah saw:
“ sebaik-baik manusia ialah mereka yang dapat membuat kebaikan terhadap manusia lain.”
Cinta suci hanya lahir daripada iman dan taqwa. Hati orang yang bertaqwa hanya untuk Allah dan Rasul-Nya, yang melihat Akhirat lebih utama daripada dunia. Maka dikorbankanlah dunia untuk Akhirat. Dia rela berkorban demi kehendak Allah dan kehendak suami. Redha dengan taqdir dan menanti Syurga yang dijanjikan dengan penuh rindu.
Seorang isteri yang menghalang suami berkahwin, walhal suaminya perlu berbuat begitu, adalah isteri yang mementingkan diri kerana terlalu melayan cinta nafsu. Sebab bila suami sudah ada hati untuk berkahwin lagi, bermakna suaminya sudah ada keinginan pada perempuan lain selain isterinya. Kiranya keinginan itu tidak tertunai, dihalang oleh isteri, suami itu akan mula liar dan tawar hati dengan isterinya. Dirasakan isterinya tidak faham jiwanya, tidak membantu menyelesaikan masalahnya.
Bila hal ini berlaku, hubungan suami isteri mulai cacat sedikit demi sedikit. Kiranya isteri memahami malah mendorong hasratnya, maka cintanya akan
bertambah. Suami akan rasa berterima kasih kepada isterinya. kepercayaan, kasih sayang dan rasa terhutang budi akan melimpah ruah pada isterinya.
tenteramlah hatinya, dan sekurang-kurangnya dia berjanji pada dirinya, “Aku tidak akan sia-siakan pengorbanan isteriku ini.”
Apa dibimbangkan kasih yang akan berbelah bagi, dan malam yang terpaksa digilirkan? Sebab kalau tanpa poligami pun belum tentu suami kita mengasihi kita seratus peratus. Dan tidak ada jaminan yang setiap malam adalah “malam pengantin” antara kita dengannya.
Takut kekurangan harta atau ekonomi rumahtangga terjejas? Atau risau diri tidak dipedulikan? Apa jaminan bahawa tanpa poligami kita kaya, dan akan selalu dimanjakan? Berapa ramai orang yang tidak berpoligami pun kucar-kacir rumahtangganya, selalu berpisah, papa dan terbiar. malah secara kasar, menurut laporan kadi, kebanyakan kes cerai adalah di antara suami isteri yang monogami.
Ada yang berkata, “Aku akan halang dia sedaya upaya agar dia tidak berkahwin lagi. Biar dia derita asal aku puas. Tidak apa kalau dia simpan perempuan daripada kahwin lagi.” Cakap ini bukan cakap orang mukmin.
Membenarkan suami berzina atau simpan perempuan adalah lebih buruk lagi daripada membenarkan suami berkahwin. Poligami adalah halal, zina adalah haram. Suami akan bebas mencari seberapa ramai perempuan untuk dizinai dan suami akan mencapai kepuasan seks di luar rumah lebih daripada apa yang diberi oleh isterinya. Dan ini akan lebih menjejaskan kasih suami pada isterinya.
Cinta nafsu suami habis terlepas di luar.
Suami yang berzina tidak fikir giliran lagi dan dia bebas untuk balik ke rumah atau tidak balik langsung. Sedangkan suami yang ada dua isteri akan merasa
tanggungjawab, terkawal serta masih suka menggilirkan kedua-dua isterinya itu.
Suami yang menikahi isteri-isteri secara halal adalah lelaki yang bertanggungjawab dan diterima di sisi masyarakat. Sebaliknya suami yang rela berzina untuk keseronokan nafsunya, adalah lelaki yang tidak suci, tiada rasa tanggungjawab, serta tertolak di sisi masyarakat.
Bernikah mencetuskan rasa kekeluargaan antara pihak-pihak yang terlibat. Sedangkan berzina, merenggangkan seseorang dengan keluarganya. anak-anak
akan malu dan kesal kerana ayahnya penzina. tapi kalau ayahnya berkahwin lagi, dengan diredhai oleh ibunya, anak akan bangga dan terasa mempunyai ibu yang baru bersama datuk dan nenek yang baru.
Dengan poligami orang tidak kata lelaki itu jahat. Isteri yang merelakan suami berkahwin satu lagi akan disanjung denga kata-kata, “Hebat awak ni! Kerana mampu berkorban untuk suami hingga begitu sekali.” Lelaki yang bertanggungjawab terhadap isteri yang ramai tentu lebih mulia daripada lelaki yang cuma bertanggungjawab terhadap seorang isteri.
Antara kesusahan berpoligami dan kesusahan bersuami penzina, kesusahan mana yang lebih parah? Manakah yang lebih ringan untuk ditanggung oleh para isteri?
Poligami dalam masyarakat hari ini menjadi begitu buruk kerana ia tidak diamalkan mengikut Sunnah Rasulullah saw. Suami bersalah, dan isteri lagi-lagilah bersalah. Walhal kalau ia dilaksanakan mengikut kaedah syariat yang betul, kebaikannya dan keindahannya akan lebih terserlah.
P/S:sekadar perkongsian, terserah kepada anda untuk menerima atau tidak...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
nasihat yg baik~ :D akan sy jadikan panduan, insyaAllah
Post a Comment